Masjid: Pusat Ketamadunan Islam
Masjid merupakan bangunan yang paling penting sebagai mercu tanda agama Islam kerana ia tempat ibadat yang menjadi rukun Islam yang kedua iaitu solat dianggap sebagai tiang seri agama. Justeru, masjid merupakan waqaf bagi Allah yang tidak dimiliki oleh sesiapapun.
Rasulullah SAW telah mendirikan masjid Quba' ketika sampai di Quba' dalam perjalanan hijrahnya. Kemudian selepas sampai di kota Madinah Rasulullah SAW juga telah mendirikan masjid yang dikenali sebagai masjid Nabawi sehingga menjadi tempat kesatuan umat dan juga memperkukuhkan ukhuwwah Islamiyyah di samping mercu tanda tamadun Islam.
Masjid adalah tempat bagi umat Islam beribadah. Menekuni kembali sejarah Islam pada masa lampau, masjid adalah pusat komuniti masyarakat dan bandar-bandar dibentuk mengelilingi masjid ini. Kini, masjid terutamanya di negara-negara umat Islam boleh dijumpai di mana-mana, memudahkan umat Islam untuk menunaikan solat lima waktu. Masjid di dunia Barat pada zaman sekarang menerapkan konsep pusat integrasi yang turut mempunyai pusat pengajian, kemudahan komuniti selain untuk beribadah.
Masjid boleh didapati dalam pelbagai rekabentuk dan kesenian binaannya; bergantung kepada budaya setempat. Umat Islam pada zaman silam sehingga ke hari ini memanfaatkan arkitek tempatan dan luar negara untuk merekabentuk masjid yang indah.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa ciri persamaan bagi masjid di seluruh dunia. Setiap masjid ada mihrab, yang menghala ke arah kiblat iaitu Baitullah di Makkah al-Mukarramah. Begitu juga minbar yang biasanya digunakan untuk berkhutbah pada setiap hari Jumaat. Antara lain, persamaannya adalah pada menara. Kebiasaanya, ia dibina tinggi dan bertujuan untuk memudahkan muazzin melaungkan azan pada satu ketika dahulu.
Reka bentuk masjid telah berubah dengan begitu mendadak selepas 1400 tahun. Masjid kini turut dihiasi kolam atau air pancut yang turut menyediakan kemudahan untuk umat Islam mengambil wudhu'. Begitu juga kemudahan bilik air, bilik mandi dan rumah musafir. Keadaan ini berbeza dengan masjid pada era awal Islam yang cuma beratapkan pelepah tamar.
Bagaimanapun keadaannya, masjid tetap sebuah tempat ibadah yang wajar dihormati dan dipelihara kemuliaan dan kesuciannya kerana ia adalah syiar bagi agama Islam yang tercinta.
Laman web kami
https://huffaz.com.my (SRII Huffaz)
https://www.rehal.edu.my (SRI Rehal)
Untuk pentanyaan berkaitan sekolah, boleh hubungi