Keindahan Menuntut Ilmu Berteraskan Al-Quran

PENDIDIKAN BERTERAS QURAN DAN SUNNAH

Disediakan Oleh: Ahmad ‘Irfan Bin Surul Shahbudin


Pendidikan merupakan tunjang utama kepada pembangunan sahsiah sesebuah masyarakat. Dengan ketiadaannya ilmu, sesebuah tamadun akan hidup dalam kemunduran serta menyebabkan keruntuhan moral dan akhlak. Dalam konteks Islam, pendidikan mestilah selaras dengan al-Quran dan al-Sunnah yang didasari oleh tauhid dan diajarkan oleh nabi Muhammad SAW. Kegagalan dalam meletakkan al-Quran dan al-Sunnah dalam sistem pendidikan menjadi punca kepada kegagalan dalam membentuk sahsiah seorang muslim yang sebenar.


Oleh yang demikian, wajarlah umat islam kini disarankan untuk mengikuti ajaran islam yang sebenar dan selari dengan apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Hal ini kerana ia boleh menjadi senjata yang ampuh agar manusia tidak terpesong dari fahaman yang menyelewang sekaligus dapat membentuk jati diri manusia yang sentiasa mengharap kasih sayang Allah dan Rasulnya serta mematuhi hukum-hukum syarak yang benar.


Seperti yang kita ketahui, Allah SWT telah menurunkan Al-quran kepada Nabi Muhammad saw melalui Malaikat Jibrail a.s sebagai panduan hidup. Al-Qur’an juga merupakan sumber utama yang mencakupi segala aspek kehidupan manusia termasuk aspek pendidikan. Ia juga merupakan aspek paling penting dalam pembangunan insan segaris dengan ayat yang diturunkan di dalam surah al-‘Alaq di mana ia menekankan aspek pendidikan. Firman Allah s.w.t:


ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ ۝ خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ ۝ ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ ۝ ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ ۝ عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ۝


Maksudnya: Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dengan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.


Jika diteliti lebih mendalam, ayat ini memberi isyarat dan perintah yang amat jelas dalam bidang pendidikan. Perkataan iqra’ (bacalah) yang diajarkan oleh malaikat Jibrail a.s berulang-ulang kali kepada Rasulullah saw menegaskan supaya umat manusia perlu belajar, mengkaji dan mencari ilmu.


Menuntut ilmu merupakan kewajipan dan harus dituntut setiap insan. Ia juga merupakan kayu ukur dalam kehidupan manusia dalam menentukan samada perkara tersebut baik atau tidak. Allah SWT telah menjamin kelebihan bagi orang yang yang menuntut ilmu dengan mengangkat darjat mereka berdasarkan firmannya di dalam surah Al-mujadalah:


يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ


Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”.


Nabi Muhammad SAW telah menjelaskan bahawa kelebihan orang menuntut ilmu di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:


مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ


Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”.


Riwayat Muslim (4867)


Namun, ada segelintir masyarakat berpandangan masih terlalu awal untuk menghantar anak mereka ke sekolah agama. Lebih bermasalah lagi apabila anak mereka bermasalah, ibu bapa tersebut mengambil keputusan untuk menghantar anak mereka ke pusat tahfiz dan mengharap anak mereka menjadi lebih baik. Perkara ini tidak wajar kerana akan berlaku lambakan pelajar yang bermasalah serta menyebabkan pusat tahfiz akan dipandang serong oleh masyarakat.


Oleh itu, ibu bapa haruslah memainkan peranan yang penting dalam memberi pendedahan tentang ilmu agama kepada anak mereka sejak kecil lagi supaya anak mereka diberi kesedaran bahawa pentingnya adab dalam menuntut ilmu sekaligus lebih tunduk kepada Allah yang esa. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.


Secara ringkasnya, ibu bapa yang ingin menekankan pendidikan awal berteras al-Quran anak mereka, mereka haruslah mepersiapkan anak mereka dari kecil agar anak mereka bersedia, mengikut kajian terdapat banyak kelebihan dari sudut emosi apabila diberi pendedahan kepada anak sejak kecil lagi. Sepertimana anak yang menghidap tantrum atau autism, dengan memperdengarkan bacaan al-Quran akan melembutkan hati mereka dan akhlak mereka akan menjadi lebih baik. Ibu bapa juga tidak perlu risau jika ingin menyambungkan anak mereka ke peringkat sekolah yang lebih tinggi lagi berkonsepokan al-Quran kerana anak mereka sudah didedahkan dengan ilmu al-Quran sejak kecil lagi.


Akhir sekali, dalam kita menuntut ilmu ini, haruslah kita seimbangkan ilmu dunia dan akhirat. Disampingkan kita mempelajari ilmu dunia, kita juga dituntut untuk mempelajari ilmu akhirat yang sudah pasti menjadi kewajipan kepada umat islam. Alangkah indahnya jika seorang muslim itu berjaya meraih keduanya, seseorang akan menjadi muslim yang professional. Islam tidak pernah menyekat ruang untuk umatnya mempelajari ilmu yang bermanfaat meskipun ia menjurus kepada urusan duniawi, bahkan Islam meletakkan kedudukan istimewa kepada orang yang berada pada jalan menuntut ilmu.


🌐 Laman web kami:
https://huffaz.com.my (SRII Huffaz)
https://www.rehal.edu.my (SRI Rehal)
https://rehalresources.com (Rehal Resources)


📞 Untuk pertanyaan berkaitan sekolah, boleh hubungi:
http://www.wasap.my/+60163302017 (SRII Huffaz)
http://www.wasap.my/+60163302018 (SRI Rehal)